Sunday, April 21, 2013

Perang Jamal - Saidatina Aisyah vs Saidina Ali ???



Hanim tersenyum melihat anak kecilnya ketawa gembira bersama ayahnya di atas belakang unta itu. Apa tidaknya, itulah pengalaman pertama menunggang seekor unta. Hanim kemudian memandang sekeliling, ucapan ‘Alhamdulillah’ tidak pernah berhenti di dalam hati. Dia benar-benar bersyukur kerana akhirnya mereka sekeluarga dapat menjejakkan kaki ke bumi barakah itu, Mekah Al-Mukarramah.
                “ Umi.. unta dalam bahasa Arab apa? ,” tiba-tiba kedengaran suara Humaira dari atas unta itu.

Hanim tersenyum seraya menjawab, “ Kalau unta, orang Arab panggil Jamal, sayang.”
Serentak dengan itu, fikirannya mula terimbau suatu kisah yang berlaku beratus tahun dahulu. Salah satu kisah yang terbuku dalam lipatan sejarah, yang menjadi pengajaran terbesar untuk umat islam; Perang Jamal…

                Perang Jamal merupakan perang antara umat islam, iaitu melibatkan Saidatina Aisyah r.a. dan Saidina Ali r.a. Mendengar sahaja nama sahabat dan ummul mukminin ini sudah cukup menimbulkan tanda tanya dalam minda semua orang. Benarkah? Sahihkah? Mustahil !


                Benar, kisah ini boleh menimbulkan kekeliruan bagi mereka yang baru kali pertama mendengarnya. Disebabkan itu jugalah pihak syiah cuba mengambil kesempatan untuk memutarbelitkan kisah ini bagi menimbulkan salah faham dalam pemikiran umat islam sendiri. Dia sendiri turut terkeliru sewaktu pertama kali mencari kisah perang itu apabila mendapat assignment ketika di universiti dulu. Namun, hasil daripada kajian terperinci, Alhamdulillah dia dapat memahami dengan jelas apa sebenarnya yang berlaku.



                Selepas peristiwa pembunuhan Sayyidina Uthman, Saidina Ali telah dibaiah dan diangkat menjadi khalifah islam yang keempat. Pada mulanya, semuanya dalam keadaan baik. Namun, kekacauan mula berlaku apabila waris-waris Saidina Uthman menuntut hukuman qisas terhadap pembunuh Saidina Uthman dipercepatkan, dan dalam masa yang sama, fitnah mula tersebar.

                Saidina Ali mengambil keputusan melewatkan hukuman itu atas dua sebab utama, iaitu keadaan Negara yang tidak stabil pada ketika itu kerana umat islam berpecah belah dan orang-orang yang terlibat dalam pembunuhan itu adalah terdiri daripada kaum Munafiqun serta beberapa orang muslimin yang termakan dengan hasuran kaum munafiqun. Oleh itu, siasatan yang benar-benar teliti perlu dilakukan.


                Perpaduan umat islam ketika itu mula goyah, ada yang bersetuju dengan ijtihad Saidina Ali, dan ada yang menolak ijtihad tersebut. Berlanjutan daripada hal ini, Saidatina Aisyah berangkat ke Basrah bersama sekumpulan muslimin untuk mencari penyelesaian terhadap perpecahan umat islam akibat perisitiwa pembunuhan Saidina Uthman ini. Perihal ini telah disebutkan dalam al-Fishal fi al-Milal wa al-Ahwa’ wa al-Nihal yang menjelaskan bahawa keberangkatan Saidatina Aisyah bukanlah bermaksud untuk berperang , tetapi lebih kepada mencari perdamaian.


                Di Basrah, kumpulan saidatina Aisyah bertemu dengan kumpulan Saidina Ali. Hasil daripada pertemuan itu, kata sepakat diambil untuk mempercepatkan proses hukuman ke atas pembunuh-pembunuh Saidina Uthman. Namun, pihak munafik yang bertanggungjawab merancang dan membunuh Saidina Uthman mula berasa terancam. Lalu pada keesokan paginya, mereka telah menyerang kumpulan Saidatina Aisyah. Dalam keadaan terkejut dari tidur, kumpulan Saidatina Aisyah menyangka bahawa serangan itu daripada kumpulan Saidina Ali. Tanpa membuang masa, mereka terus menyerang balas. Di pihak Saidina Ali pula, mereka menyangka bahawa kumpulan Saidatina Aisyah telah mengkhianati perjanjian lalu turut menyerang balas. Secara ringkasnya, kedua-dua pihak merasakan bahawa mereka dikhianati. Lalu tercetuslah Perang Jamal dan perang ini dinamakan Jamal kerana diriwayatkan bahawa Saidatina Aisyah duduk di atas unta sewaktu peperangan itu.


                Peperangan ini menyaksikan kematian hampir 1000 umat islam termasuk sahabat seperti Talhah dan Zubair. Kebenaran hanya diketahui selepas peperangan berlaku. Umat islam cukup kesal dengan apa yang berlaku terutamanya Saidatina Aisyah. Betapa liciknya pihak musyrikin menjadi duri yang mencucuk-cucuk umat islam sehingga menimbulkan perpecahan. Begitulah sejarah telah memberi pengajaran dan membuktikan bahawa fitnah, ketidaksefahaman, dan salah faham boleh membawa kepada kemusnahan umat islam itu sendiri.

                “ Umi..umi.. jomlah naik sama-sama, “ Hanim tersentak mendengar panggilan anaknya itu.
Zapp! Terus hilang bayangan peristiwa Perang Jamal dalam fikirannya.


                Dia segera berjalan menuju ke arah Humaira (gelaran Saidatina Aisyah) moden yang masih lagi berada di atas unta itu. Bibirnya terus mengukir senyuman.



# Artikel ringkas ini bersempena peristiwa Perang Jamal pada tanggal 11 Jamadilakhir.

Semoga kita sama-sama dapat mengambil manfaat daripada artikel ini.




Sumber rujukan :

http://sifrulmind.blogspot.com/2009/03/perang-jamal.html


0 comments:

Post a Comment